Penyanyi Ezlynn yang kini sedang menghadapi kemelut rumahtangga dengan suaminya, Adam Fahmy akui sambutan Syawalnya kali ini disambut dengan sangat sederhana.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azaline Ariffin berkata dia tidak membuat apa-apa persiapan untuk menyambut Raya dan hanya memakai baju kurung daripada simpanannya sejak 10 tahun lalu.

"Kalau sebelum ini setiap kali Raya saya akan menjahit sendiri baju baru untuk saya dan suami tetapi tidak pada tahun ini.

"Lagipun saya Raya seorang tanpa suami dan hanya bersama dengan keluarga sahaja.

"Raya kali ini saya hanya pakai baju yang ada iaitu baju kurung saya yang saya pernah pakai 10 tahun lalu. Mujur masih elok dan muat.

"Bagi saya, tiada apa-apa keterjuaan untuk menyambut Raya kali ini selain bersama dengan keluarga," katanya kepada Astro Gempak.

Terdahulu penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu telah memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Januari lalu.

Kemelut rumahtangga Ezlynn dikatakan bakal berakhir apabila suami­nya me­nyatakan persetujuan untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, 11 Julai lalu.

Ezlyn yang pulang ke kampung neneknya di Kelantan memberitahu dia akui pada mulanya gusar untuk bertemu dengan saudara mara kerana statusnya, namun dia akhirnya lega kerana tiada siapa bertanyakan mengenai rumahtangganya.

"Sebenarnya saya dah mempersiapkan diri untuk menjawab jika ada saudara- mara yang bertanya mengenai rumahtangga saya.

"Tapi bila bertemu dengan mereka tiada siapa yang bertanya mengenainya, saya pun jadi lega.

"Mungkin mereka tidak bertanya kerana mereka lihat saya gembira seperti tiada apa-apa yang berlaku dan tidak nampak saya bersedih sedikit pun," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Ezlynn bakal merakamkan single terbaharu ciptaan Tam Spider bersama syariakta rakaman Indigital pada bulan hadapan.

Teks oleh: Syafiqah Jalal