"Tidak ada sebab saya cemburukan Shahrol hanya kerana dia juga bergelar penyampai radio."

Itu jawapan yang diberikan Ajak ketika ditanya mengenai pasangannya dari kumpulan Shiro, Shahrol yang tidak memaklumkan menerima tawaran sebagai penyampai radio daripada Suria FM tiga minggu lalu.

Ajak, 31, mengakui hanya tahu mengenai berita itu pada hari pertama Sharol diumumkan sebagai penyampai radio stesen tersebut.

"Saya tahu dia jadi penyampai radio pada hari pertama dia diumumkan secara rasmi. Saya terkejut tetapi saya faham mengapa dia tidak kongsi berita tersebut lebih awal.

"Saya dulu pun begitu, saya tidak beritahu kepada sesiapa kerana mengikut kehendak pengurusan yang mahu perkara tersebut disorokkan terlebih dahulu sebelum mengumumkannya secara rasmi kepada umum.

"Jadi perkara tersebut adalah biasa dan tidak ada isu kecil hati, cemburu atau rasa ketinggalan, sebaliknya saya gembira dan bangga," katanya.



Ketika ditanya tentang persaingan yang wujud dikalangan pelawak yang diletakkan sebagai penyampai dalam setiap stesen, Ajak berkata ia merupakan perkembangan yang positif untuk mereka.

"Saya nampak perkara ini sebagai sesuatu yang positif kerana sekurang-kurangnya orang di luar sana nampak kebolehan dan kelebihan kami serta tidak terhad kepada berlawak semata-mata.

"Di kalangan kami juga, tidak pernah timbul sebarang isu kerana masing-masing menjalankan tugas masing-masing.

"Kalau bersaing pun, persaingan yang wujud itu sihat," ujarnya.



Ajak berkata demikian ketika percutian Fly FM, Hot FM dan Kool FM bersama media di Lombok, Indonesia.

Bercakap mengenai tugasnya sebagai penyampai radio di Hot FM, Ajak berkata dia kini semakin selesa di konti bersama pasangan Geng Pagi Hot, Fizie dan Shuk.

"Sudah setahun setengah saya di Hot FM dan jujur saya katakan, jika diberi pilihan saya mahu jadikan penyampai radio sebagai kerjaya tetap," katanya.