Aktres dan penyanyi Dr. Soo Wincci mengakui segan untuk berpakaian seksi dalam filem terbaru lakonannya, Kau Yang Satu.

"Sejujurnya, saya rasa agak segan untuk berpenampilan seksi dan membawakan watak antagonis yang menggoda dalam filem ini kerana Kau Yang Satu merupakan filem Melayu pertama lakonan saya.

"Saya khuatir penampilan saya akan disalah ertikan. Namun begitu, saya percaya penonton sudah bijak menilai. Penampilan seksi saya hanya untuk memenuhi tuntutan watak.

"Saya juga tidak akan berpakaian seksi tanpa sebab. Semuanya hanyalah untuk keperluan karakter Isabella dalam filem Kau Yang Satu," kata Wincci.

Hampir dua tahun menanti filem ini ditayangkan, Wincci gembira kerana dapat bergandingan dengan Aaron Aziz.

"Aaron merupakan antara pelakon yang saya jadikan sebagai idola. Menerusi filem ini, saya dapat berlakon disamping Aaron.

"Saya gembira kerana Aaron sangat baik. Aaron selalu membantu dan sangat mudah untuk bekerja dengan Aaron," katanya lagi.

Selain Aaron dan Wincci, filem ini turut dilakonkan oleh Izara Aishah dan Hisyam Hamid. Filem adaptasi novel karya Nia Azalea juga turut menampilkan Amyra Rosli Wan Hanafi Su, Zaidi Omar dan Rosnah Johari dan ramai lagi.

Filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Julai ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal