Selama ini kita hanya tahu menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram tanpa mengetahui siapakah sebenarnya individu di sebalik kejayaannya.

Sementelah Telegram menjadi buah mulut di Indonesia gara-gara aplikasi itu dikatakan menjadi penyebar ancaman pengganas sehingga akses aplikasi itu terpaksa ditutup.

Pavel Durov merupakan pengasas Telegram yang semakin popular dalam kalangan pengguna telefon pintar seluruh dunia.

Astro Gempak berkongsi 5 fakta menarik tentang Pavel Durov yang semakin kencang diburu netizen.

1) Warga Rusia di Itali

Pavel dilahirkan di Saint Petersburg, Rusia pada 10 Oktober 1984 namun membesar di Turin, Itali bersama bapanya iaitu seorang ilmuan sejarah dan linguistik.

Mendapat jolokan 'Mark Zuckerberg' di negara kelahirannya, Pavel merupakan graduan dari Saint Petersburg University dan pernah menghasilkan aplikasi perpustakaan dalam talian.



2) Cipta VKontakte

Sebelum membangunkan Telegram, Pavel sudah berkecimpung dalam dunia media sosial. Pada tahun 2006 dia bersama seorang sahabat lamanya, Vyacheslav Mirilashvili mencipta laman sesawang media sosial untuk Rusia, VKontakte.

Sehingga Februari 2007, VKontakte digunakan lebih 100,000 orang dan keuntungannya mencecah AS$260 juta (RM1.1 bilion).

Aplikasi itu menggunakan warna asas seperti Facebook iaitu biru dan putih.



3) Lari dari Rusia

Bagaimanapun, selepas tujuh tahun Pavel menjual sebahagian saham Vkontakte kepada sebuah perusahaan internet Rusia iaitu Mail.ru. Pada masa sama dia meletak jawatan sebagai Pengarah Urusan VKontakte.

Hal itu kerana desakan kerajaan Rusia yang memaksa dia memberikan data seteru politik negara itu. Pavel akhirnya melarikan diri dari Rusia.

4) Telegram dengan abang

Pada tahun 2014, Pavel mencipta aplikasi Telegram bersama abangnya, Nikolai Durov dan pada tahun sama dia dinobatkan sebagai salah seorang usahawan teknologi Eropah Utara paling berpengaruh bawah usia 30 tahun.

Pada awal kemunculan Telegram, Pavel membelanjakan AS$1 juta (RM4.2 juta) sebulan untuk menggerakkan aplikasi itu.



5) Hanya pakai baju hitam

Gaya hidup Pavel sangat unik. Dia hanya menyarung pakaian yang berwarna gelap terutamanya hitam sahaja, sekali pandang seperti karakter Neo dalam filem The Matrix.

Pavel akan sentiasa berpindah randah ke negara asing bersama-sama empat kakitangannya selang beberapa bulan.







Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Business Insider
Kredit foto: IG @durov