Pelakon, Hisyam Hamid akui tertekan untuk membawakan watak sebagai Zulkifli menerusi filem adaptasi novel, Kau Yang Satu.

Menurut Hisyam, dia agak risau untuk mengetahui penerimaan penonton terhadap keberkesanan lakonannya untuk filem arahan Osman Ali itu.

“Penggambaran filem ini dijalankan pada dua tahun yang lalu dan pada waktu itu saya masih sangat baru dalam dunia lakonan.

“Memang saya akui rasa tertekan dan risau dengan teknik lakonan, manalah tahu tidak seperti yang diharapkan oleh pengarah.

“Lagi-lagi bila digandingkan pula dengan pelakon handalan seperti Aaron dan juga Izara membuatkan diri saya terasa kecil.

“Tapi saya bersyukur, segalanya berjalan dengan lancar kerana pengarah dan juga pelakon-pelakon banyak mengajar saya mengenai teknik-teknik lakonan filem.

“Lagipun seperti yang kita tahu, Kau Yang Satu ini merupakan novel popular jadi sedikit sebanyak memang saya risau dengan jangkaan peminat terhadap lakonan saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain Hisyam, filem ini turut dibintangi oleh Izara Aishah, Aaron Aziz dan Soo Wincci. Filem adaptasi novel karya Nia Azalea juga turut menampilkan Amyra Rosli Wan Hanafi Su, Zaidi Omar dan Rosnah Johari dan ramai lagi.

Filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Julai ini.

Teks oleh: Mya Amri