Aktor Norman Hakim akui kagum apabila mendapat tahu anak sulungnya, Mohamed Danish Hakim, 14, sudah menghafaz 28 juzuk al-Quran.

Norman berkata jika dia, belum tentu boleh menghafaz ayat al-Quran sebanyak itu seumur hidupnya.

"Saya pernah diminta Danish untuk mengujinya dalam hafazan al-Quran kerana mahu berlatih sebelum menduduki peperiksaan di sekolah.

"Saya hanya baca mana- mana ayat secara rawak di dalam al-Quran tanpa dilihatnya dan dia dengan cekap menyambungnya selepas saya berhenti membaca.

"Meremang bulu roma saat saya lihat dia menghafaz ayat al-Quran itu dengan tepat sekali.

"Saya kagum melihatnya, kalau saya belum tentu lagi boleh lakukan begitu," katanya kepada Astro Gempak.

Danish yang mengikuti pengajian di Madrasah Uthmaniyah Tahfiz, Bangi bakal menyambung pengajiannya ke Turki pada Oktober depan.

"Jika hendak diikutkan Danish akan berangkat pada Mei lalu tetapi saya serta Abby Abadi dan Memey agak emosi untuk melepaskan dia.

"Yelah, jika dia ke sana Mei lalu dan mengikuti pengajian selama 9 bulan sudah pasti kami tidak dapat menyambut raya bersamanya, justeru kami mintak ditangguhkan ke Oktober.

"Saya bangga kerana Danish antara 20 pelajar dari Malaysia yang terpilih untuk mengikuti pengajian bersama 400 orang pelajar lain dari seluruh dunia.

"Bagi saya dia memang anak yang terpilih dan dipilih oleh Allah untuk mempunyai kelebihan menghafaz.

"Anak-anak begini biasanya yang menjadi bench mark kepada kita sebagai ibu bapa untuk menjadi lebih baik.

"Moga Allah lindunginya dan kami sekeluarga tidak berhenti mendoakan kesejahteraannya di sana nanti," katanya lagi.

Danish merupakan anak hasil perkahwinan Norman bersama Abby terdahulu.

Selain Danish mereka juga dikurniakan dua lagi anak perempuan iaitu Marissa Dania, 12, dan Maria Danisha, 10.

Teks oleh: Syafiqah Jalal