Menteri Belia dan Sukan, YB. Brig. Jen. Khairy Jamaluddin yakin semua lokasi temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan dipenuhi dengan penonton yang datang menyokong sukan tempatan.

Katanya, walaupun liputan komprehensif diberikan oleh pelbagai agensi berita terutama Astro, beliau tidak bimbang dengan jumlah kehadiran penonton kelak.

"Semestinya akan ada banyak permintaan untuk menonton sukan kegemaran masing-masing di beberapa lokasi acara yang telah ditetapkan.

"Malah hampir kesemua tiket masuk untuk menonton beberapa perlawanan sukan sudah habis dijual.

"Ini membuktikan rakyat Malaysia memang memberikan sokongan penuh sempena temasya sukan terbesar tahun ini.

"Liputan yang disiarkan di televisyen dan platform digital adalah alternatif bagi mereka yang tidak berpeluang ke stadium," katanya pada sidang media kempen Astro untuk Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017.

Sempena KL2017, Astro selaku penyiar rasmi 2017 akan menyediakan empat saluran khas dalam definisi tinggi di saluran 802, 803, 804 dan 805 HD menerusi Astro TV dan NJOI TV.

Sementara itu, penonton boleh menyaksikan perlawanan pilihan di empat saluran tambahan eksklusif di aplikasi atas talian Astro GO dan NJOI Now.

Peminat sukan juga boleh mendapatkan informasi terkini pencapaian atlet dengan melayari laman web Stadium Astro dan Astro Awani.

Portal Astro Gempak, Rojak Daily, Astro Ulagam (Tamil) dan Xuan (Cina) turut menawarkan perkembangan dan cerita-cerita menarik sepanjang KL2017.

Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: The Star Online