Musim durian sudah tiba dan kegilaan orang ramai mendapatkan raja buah itu dengan baka terbaik mula menjadi fenomena.

Tidak terkecuali sepasang pengantin yang baru melangsungkan perkahwinan yang kempunan barangkali untuk merasai penangan durian kali ini.

Gambar-gambar pasangan mempelai yang masih berbaju pengantin itu tular di media sosial sejak semalam.

Tanpa menghiraukan tanggapan orang sekeliling, mereka dengan selambanya berjalan keluar dari kenderaan dan leka memilih durian di sebuah gerai tepi jalan di Taiping, Perak.

"Member seorang ni buat hal. Lepas majlis kahwin boleh lagi pi singgah kedai durian. Hang memang sempoi Hud," tulis seorang pengguna Twitter @syazwanbasil.

Gambar-gambar itu menarik perhatian netizen dan menyifatkan perkara itu melucukan.

"Awalnya dia mengidam... haha," tulis @fy499.

"Rare habis ni Wan," kata @amirfirdaus1218.

Namun, ada juga netizen yang merasakan kisah itu perkara biasa terjadi kepada pasangan pengantin yang baru bersanding.

"Pengantin lain pun singgah makan durian juga selepas kahwin tapi tak ada orang tangkap gambar, tak ada orang kata mereka sempoi. Ops!"tegas @nrlnsyqnhsna.

Sama juga seperti @shymuhd yang tidak merasakan momen itu luar biasa. Tulisnya; "Apa yang special kejadian ni eh? Aku rasa normal saja."

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter