Pelakon jelita, Mia Ahmad tidak mahu melangsungkan pertunangan dengan kekasihnya yang merupakan penjaga gol kelab bola sepak negeri Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan.

“Saya dan Izham sudah setahun berkenalan. Kami memang sudah memikirkan soal pernikahan. Persiapan ke arah majlis perkahwinan juga sudah difikirkan tetapi masih belum ada tarikh yang sesuai kerana jadual yang padat.

“Kalau boleh, saya tidak mahu mengadakan majlis pertunangan dengan Izham kerana mahu terus bernikah dan berkahwin. Izham juga setuju dengan perkara ini. Saya berharap semua urusan kami akan dipermudahkan, Insya-Allah,” kata Mia kepada Astro Gempak.

Pernah didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan aktor Saharul Ridzwan, Mia enggan lagi namanya dikaitkan dengan pelakon itu.

“Jika dahulu orang asyik kaitkan nama saya dengan Saharul, saya harap dengan pendedahan hubungan saya dengan Izham, perkara itu dapat dihentikan.

“Saharul sudah berkahwin, saya juga sudah mempunyai teman istimewa. Kami hanya rakan artis sahaja dan hubungan yang terjalin adalah atas dasar profesional.

“Saya tiada masalah jika mahu dikaitkan dengan Saharul daripada segi lakonan tetapi saya harap peminat tidak mengaitkan lagi nama kami dengan perkara yang bukan-bukan seperti hubungan cinta.

“Tidak manis untuk Saharul yang sudah beristeri dan tidak baik untuk saya juga kerana saya sudah mempunyai teman istimewa,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016) pada Rabu.

Telefilem lakonan Mia bersama Amyza Aznan, Syazwan Zulkifli dan Aeril Zafrel, Ku Haramkan Susu Itu tercalon dalam kategori Drama Terbaik.

ASK 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 November ini, bermula jam 9.00 malam di TV3.

Teks Oleh: Kamaruddin Razal