Pengalaman pertama kali menjadi penjaga kepada anak-anak yatim di Rumah Titian Kasih merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan pelakon Hisyam Hamid.

Dua hari bersama lebih 40 orang anak-anak yatim itu Hasyim ibarat menjadi bapa kepada penghuni rumah tersebut.

Pengalaman menjadi penjaga asrama atau wardern dirakam untuk salah sebuah episod program sosial eksperimen yang disiarkan di platform Astro Gempak dengan kerjasama MaxManTV bertajuk, Undercover Selebriti.

Menerusi rakaman tersebut, Hisyam Hamid bukan sahaja diamanahkan untuk menjaga anak-anak tersebut malah turut melayan kerenah mereka yang segelintirnya tidak mahu menurut kata.

Sebagai seorang bapa kepada dua orang anak, Hisyam memberitahu dia tiada masalah untuk menggalas tanggungjawab menjaga anak-anak tersebut.

Namun jauh di sudut hatinya, dia amat tersentuh melihat nasib mereka yang terpaksa membesar tanpa kasih saya ibu bapa kandung.

"Sebagai seorang ayah saya amat tersentuh bila melihat mereka serta terus terbit rasa syukur kerana saya dibesarkan dengan kasih saya ibu bapa.

"Kepada yang masih mempunyai ibu bapa, bersyukurnya kerana kasih sayang seorang ibu dan ayah itu memang tiada gantinya.

"Namun pengalaman dua hari menjaga mereka memang seronok walaupun terpaksa melayan kerenah masing-masing dan ia kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan," katanya.

Hisyam bersama anak-anak yatim tersebut ketika menyambut Ramadan baru-baru ini.

Hisyam bakal muncul dalam sebuah filem terbaharu berjudul Kau Yang Satu pada 27 Julai ini bersama bintang lain seperti Aaron Aziz, Soo Wincci, Amyra Rosli, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.