Penyampai radio Era, Jaa Suzuran akui berserah jika nyawanya melayang saat motosikal berkuasa tingginya hilang kawalan dan terbabas dalam satu kemalangan Ahad lalu.

Jaa atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ahmad berkata dia bersyukur kerana kemalangan itu tidak meragut nyawanya meskipun mengalami kecederaan yang agak teruk.

"Ia pengalaman yang saya tak mungkin boleh lupakan kerana ketika kemalangan saya sedang menunggang motorsikal dalam keadaan agak laju sehingga tiba-tiba ia hilang kawalan.

"Saat motor saya terbabas itu saya tidak boleh berfikir apa-apa selain tawakal dan berserah sahaja nyawa saya kepada Allah.

"Tapi Alhamdulilah saya selamat cuma mengalami kecederaan yang agak teruk di kaki yang mengakibat tulang lutut saya retak dan jari kelingking saya terbelah," katanya kepada Astro Gempak ketika dihubungi.

Jaa mengalami kemalangan itu pada Ahad lalu lebih kurang jam 12.30 tengahari di Keramat, Kuala Lumpur.

Penyampai Era setiap hujung minggu itu dikejarkan ke hospital sebaik sahaja kemalangan itu dan menjalani rawatan selama tiga hari.

"Saya kini perlu berdiri dan berjalan menggunakan tongkat sebelum lulut saya baik sepenuhnya.

"Namun saya sudah dibenarkan pulang untuk berehat di rumah," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Jaa bakal terbang ke Mumbai, India esok untuk sesi temubual khas bersama Datuk Shah Rukh Khan yang mempromosikan filem terbaharunya bertajuk Jab Harry Met Sejal.

Teks oleh: Syafiqah Jalal