Pasangan selebriti, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim kini lebih terbuka untuk berkongsi mengenai perihal anak mereka menerusi program infotainment, eBu Babypedia 2.

Bagaimanapun kata Yusry, program tersebut bukanlah terlalu memberi fokus terhadap penampilan dua anaknya sebaliknya lebih kepada perkongsian mengenai tips dan info berguna kepada penonton.

“Kalau kami tidak membenarkan Yahaira atau Yusof masuk ke dalam rancangan ini mungkin rasa agak pelik kerana program ini berkenaan dengan perkongsian cara ibu bapa menjaga dan membesarkan anak.

“Kami tidak memaksa anak kami untuk melakukan penggambaran, kadang-kadang ia berlaku secara spontan.

“Sebagai contoh ada kalanya bila kami berbual tiba-tiba Yahaira muncul, maka ada jugalah terselit wajahnya bersama kami,” katanya.

Yusry dan Lisa ditemui pada majlis pelancaran program eBu Babypedia musim kedua yang diadakan di Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pasangan ini masih lagi merupakan wajah utama eBu Babypedia dan untuk musim kedua ini dimeriahkan lagi dengan penampilan anak mereka, Yahaira Leanne, 2, dan Yusof Leonne yang kini berusia tiga bulan.



Dalam pada itu, Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar berkata, selepas mendapat respon positif untuk musim pertama, program eBu Bebypedia musim kedua akan menyajikan topik-topik yang lebih menarik untuk tatapan penonton.

“Jika eBu Babypedia musim pertama memaparkan mengenai petua, pantang larang dan amalan tradisional berkaitan kehamilan yang sinonim dalam masyarakat, untuk musim kedua ini kami kongsikan pula tips, petua dan informasi menarik mengenai penjagaan bayi.

“Istimewanya eBu Babypedia musim kedua ini, pada setiap episod Yusry akan membuat demonstrasi cara penjagaan bayi mengikut topik yang dibincangkan pada episod tersebut.

“Sebagai contoh, dalam episod yang membincangkan topik ‘Pemakanan’, Yusry akan menunjukkan cara mudah untuk menyediakan makanan bayi,” ujarnya.

eBu Babypedia musim kedua akan disiarkan setiap Sabtu bermula 26 Julai ini, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Program ini juga boleh ditonton di platform Astro GO dan on demand.