Pelakon Johan As'ari akui dia sedang merancang untuk menjalani kursus jangka pendek di sebuah akademi lakonan di Rusia pada penghujung tahun ini.

Johan berkata sudah tiba masanya untuk dia mendalami ilmu lakonan supaya dapat menguasai banyak watak yang diberikan kepadanya kelak.

"Saya rasa sebagai seorang pelakon, kita perlu sentiasa belajar dan mencari ilmu untuk menigkatkan kualiti lakonan.

"Saya ada berbincang dengan beberapa pelakon berpengalaman, mereka mencadangkan saya untuk menghadiri kurus lakonan di Rusia.

"Di sana cara lakonan mereka berbeza dan watak yang dibawakan setiap pelakon lebih mendalam serta punya cara lakonan yang berbeza dari negara kita.

"Saya merancang untuk memohon belajar di sana. Mungkin hanya menghadiri kursus jangka pendek selama tiga bulan di salah sebuah akademi di sana," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai kerjaya lakonannya kini, Johan akui dia kini kurang muncul di kaca televisyen kerana memilih setiap tawaran yang diberikan.

"Bukan tiada tawaran, cuma saya rasa sudah tiba masanya saya memilih apa yang saya mahu bawa dalam lakonan.

"Saya hanya akan pilih watak yang saya rasa boleh membawa saya lebih jauh dalam dunia lakonan.

"Saya tak cakap saya sudah cukup bagus kerana saya sendiri masih mencari ilmu dalam bidang lakonan," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal