Penyanyi dan bekas peserta Gegar Vanganza 3, Zarul, mengakui penggunaan media sosial penting dalam melancarkan perjalanan kerjaya seni.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 44, berkata, dia tidak mahu ketinggalan menggunakan kelebihan itu untuk bersaing dengan artis muda berbandingnya.

"Sebelum ini saya pernah berada dalam bidang seni dan saya cukup faham tentang pasang surut kerjaya jika kita tidak kekalkan momentum sedia ada.

"Sebagai selebriti saya harus kekalkan momentum sedia ada mengikuti peredaran masa sekarang supaya dapat bertahan lama dalam bidang ini.

"Saya mengakui media sosial hari ini sangat berpengaruh dalam kehidupan semua orang dan mempunyai banyak kelebihan jika digunakan dengan cara dan tujuan yang betul.

"Saya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mengumpul pengikut seramai yang boleh di media sosial supaya dapat berkongsi segala aktiviti di situ," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Zarul, dia masih mencari formula terbaik untuk kekal relevan dalam industri.

"Dunia hiburan pada masa kini sangat mencabar dan saya juga masih mencari ramuan terbaik untuk terus kekalkan nama supaya tidak dilupakan oleh peminat," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi