Pelakon, Zamarul Hisham akui tidak mahu melepaskan peluang berlakon di bawah arahan pengarah muda berbakat besar, Azma Aizal Yusoof.

Kata Zamarul, dia terus menerima tawaran sebaik sahaja mendapat tahu tentang pengarah filem tersebut.

“Azma sorang pengarah yang berbakat, penuh dengan idea-idea baru dan sering memberikan kelainan untuk setiap karya yang dihasilkan olehnya.

“Sebelum ini pun saya pernah bekerja dengan dia dan sebab itu rasa sayang nak tolak tawaran ini.

“Salah satu sebab lainnya juga adalah kerana Boy Iman. Saya rasa seperti dihargai apabila Boy menawarkan saya untuk berlakon filem ini.

“Sewaktu kami berlakon bersama dalam telefilem Blok 404, dia masih lagi baru dalam industri dan kini dia pula yang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan fenomena Blok 404 dalam bentuk filem.

“Memang saya rasa sangat terharu dengan usaha boy untuk membuat filem tersebut,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu, Zamarul turut menjelaskan Blok 404 versi baru ini tiada kaitan dengan telefilem sebelumnya.

“Kalau nak buat kesinambungan Blok 404 yang lalu rasanya tidak masuk akal kerana kebanyakan watak sudah mati.

“Jadi filem ini boleh dianggap sebagai reunion untuk gabungan artis-artis 404 lama. Filem ini masih lagi corak yang sama dengan yang terdahulu.

“Cuma yang membezakan adalah penambahan watak-watak baru dan juga jalan ceritanya. Tidak ada kaitan dengan Blok 404 yang lama,” jelasnya.

Selain Zamarul, filem Blok 404 terbitan DBI Entertainment ini dibintangi oleh Raja Azrey, Datuk Boy Iman, Nabila Huda, dan Amar Ashraf.

Filem ini dijangka bakal ditayangkan pada Disember 2017.

Teks oleh: Mya Amri