Setiap kali sambutan Syawal, pelakon Siti Elizad menjadi insan yang paling sibuk menguruskan persiapan Hari Raya untuk keluarganya.

Menjadi satu-satunya anak perempuan di kalangan lima beradik, Elizad menggalas tugas arwah ibu untuk menyiapkan keperluan adik beradik serta bapanya sempena Lebaran.

"Sejujurnya, hati saya agak sedih terkenangkan arwah ibu. Semenjak ibu saya tidak sihat, saya sudah mula belajar dan menggantikan tempat ibu untuk memasak hidangan istimewa Syawal keluarga kami seperti rendang dan sebagainya.

"Alhamdulillah, saya sempat belajar memasak dengan ibu tetapi saya agak terkilan kerana saya tidak sempat mewarisi ilmu menjahit ibu.

"Setiap kali tibanya Aidilfitri, ibu menjahit sendiri baju raya untuk kami sekeluarga gayakan di pagi Syawal," kata Elizad kepada Astro Gempak.

Menyambut kemeriahan Lebaran di Kuala Lumpur, Elizad tidak pernah mempunyai masalah untuk pulang beraya.

"Keluarga saya dan suami kedua-duanya berada di Lembah Klang. Tidak berlakunya gaduh-gaduh manja antara kami untuk membuat keputusan pulang beraya di kampung siapa terlebih dahulu.

"Semuanya sempat dikunjungi dalam masa sehari sahaja. Apa yang penting, saya dapat menziarahi pusara arwah ibu setiap kali tibanya Syawal," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal