Pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad tidak kisah mengenai pemilihan tema warna pakaian raya sama ada sedondon ataupun tidak.

Fahrin berkata, dia menyerahkan segala persiapan raya untuk diuruskan oleh isterinya, Elena.

“Saya bukanlah seorang lelaki yang cerewet jadi saya tak kisah pun tentang pilihan warna asalkan isteri saya suka.

“Tentang persiapan, saya rasa biarlah isteri yang tentukan kerana dia lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan anak.

“Raya tahun ini agak istimewa dengan kehadiran anak sulung, Khalifa Fahrel. Usianya pun dah sembilan bulan jadi saya rasa tak sabar nak bawa dia beraya,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai kampung halaman, Fahrin memberitahu dia tidak mempunyai masalah kerana kedua-dua mereka berasal dari Johor Bahru.

“Itulah, untung juga berkahwin dengan pasangan satu negeri, tak perlu pening-pening fikir balik kampung siapa dulu.

“Masing-masing orang Johor, jadi tak adalah istilah bermasam muka di pagi raya,” ujarnya berseloroh.

Teks oleh: Mya Amri