Siapa sangka, pemilik jenama Ariani yang terkenal di Malaysia, Datin Farah Haryani Muhammad Philip memulakan kerjayanya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris.

“Saya memulakan langkah kerjaya sebagai seorang guru. Saya sangat gembira dan gemarkan profesion tersebut dan sehingga kini, masih ada anak murid yang menyapa saya dengan panggilan cikgu.

“Namun begitu, ketika bertugas sebagai seorang guru, saya sukar mahu berjumpa dengan suami. Ketika cuti persekolahan, suami saya, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel sibuk dengan tugasnya di gedung Jakel.

“Selepas lima tahun bertugas, saya memutuskan untuk meletakkan jawatan bagi memberikan fokus terhadap rumah tangga,” ujarnya dalam episod terbaharu Inspirasi Taqwa.

Ketika melalui kehidupan sebagai suri rumah tangga, Farah yang semangnya sukar untuk duduk diam datang dengan satu idea.

“Saya sudah biasa bekerja. Ketika itu, timbul pula idea untuk saya membantu perniagaan yang dijalankan oleh suami. Apa kata saya menolong apa yang saya boleh. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan bermula dari detik itu, muncul jenama Ariani,” katanya lagi.

Tambah Farah, dia juga berdepan dengan dugaan dengan perniagaan, lebih-lebih lagi menjelang waktu perayaan seperti kedatangan bulan Ramadan dan Syawal.

“Dugaan semestinya ada. Kedatangan musim perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri memang mencabar. Staf harus berhadapan dengan tekanan dan pelbagai karenah pelanggan. Pada masa yang sama, mereka masih lagi menjalani ibadah puasa.

“Apa yang saya lakukan adalah memberikan motivasi kepada staf. Bagi saya, sebagai ketua, kita harus berperanan dalam mengawal selia pekerja dalam keadaan positif dan mengawal keadaan dalam cara yang baik agar semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Inspirasi Taqwa dibawakan oleh Vivo. VIVO V5S | Selfie Sempurna. Ditayangkan setiap hari Rabu pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis.

Teks oleh: Kamaruddin Razal