Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Suri Hati Mr Pilot dan Isteri VS Tunang, Fahad Iman, 24, mengakui keunikan bibir yang dimilikinya membezakan dia dengan pelakon baru lain.

Baginya, dianugerahkan bibir tebal memudahkan peminat ingat akan kewujudannya dalam industri selain bakat lakonan.

"Saya melihat keunikan yang ada pada saya seperti bibir tebal adalah satu kelebihan yang tiada pada orang lain.

"Ada peminat yang ingat saya kerana fizikal bibir dan mulut saya namun saya mengambil perkara itu secara positif. Setakat ini saya belum pernah menerima komen-komen berbaur menghina atau mengejek.

"Kalau ada pun yang cakap mulut saya besar. Tetapi kebanyakan mereka menyukai aset yang saya ada," katanya yang ditemui pada Majlis Tayangan Perdaya Program Raya Astro 2017 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Sempena Aidilfitri tahun ini, Fahad bakal muncul menerusi telefilem Sayang Papa Saya Raya Tak? di samping pelakon kacak Hisham Hamid pada hari raya ketiga.

Pertama kali bakal meraikan lebaran bergelar selebriti, Fahad akui teruja namun sudah mempunyai perancangan awal untuk bercuti di luar negara bersama keluarganya.

"Jadual saya terlalu sibuk memaksa keluarga untuk merancang percutian ke Bali, Indonesia pada hari raya kedua," tambahnya.

Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Stail.my, IG @fahadiman