Pelawak Achey Bocey mendapat pujian peminat apabila menukar lagu terbaharu nyanyian Justin Bieber, Luis Fonsi dan Daddy Yankee berjudul Despacito kepada versi hari raya.

Achey telah memuatnaik lagu berjudul Despacito Hari Raya itu di Youtube, dan telah mendapat komen positif dan pujian daripada pengguna laman sosial tersebut.

Menerusi video tersebut, isteri Achey turut terlibat sebagai penyanyi latar bersama seorang lagi wanita.

Lagu tersebut yang liriknya digubah Achey sendiri mengisahkan tentang suasana menyambut lebaran serta diselitkan unsur-unsur nasihat.

Rata-rata yang menyaksikan rakaman itu memuji kebolehan Achey menulis lirik yang kena dengan lagu tersebut.

Mereka turut menyukai lagu tersebut kerana selain sedap didengar, ia juga mudah untuk dihafal.

Tambah mereka, dengan kualiti lirik yang ditulis Achey untuk lagu Despacito Hari Raya, pelawak tersebut sebenarnya sudah boleh menghasilkan lagu sendiri.

Lagu Despacito nyanyian asal Daddy Yankee, Luis Fonsi dan Justin Bieber mula meledak sejak dilancarkan pada Januari lalu dan mendapat sambutan luar biasa daripada penggemar muzik.



Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi