Zulfarhan Osman Zulkarnain, Pegawai Kadet Laut tahun tiga UPNM yang meninggal dunia akibat didera, didakwa dipukul suspek yang percaya pada bomoh yang menyatakan arwah adalah individu yang mencuri komputer ribanya.

Perkara tersebut dimaklumkan rakan baik mangsa menerusi WhatsApp kepada ibu siswa itu, Hawa Osman.

Bapa saudara mangsa berkata, mesej itu menyebut Zulfarhan dipukul sebelum Ramadan lagi kerana dituduh mencuri walaupun beliau bukan satu-satunya pelajar yang disyaki.

“Tapi Paan (Zulfarhan) jadi suspek sebab orang tanya bomoh, keluar nama dia. Lepas tu nak bagi dia mengaku, kawan-kawan pukul dia beramai-ramai.

“Arwah kena pukul dua hari sebab tidak mengaku,” katanya merujuk pada WhatsApp yang dihantar.

Bagaimanapun Harian Metro tidak menamakan bapa saudara dan rakan baik mangsa.

Ibu saudara mangsa Hairiah Jelani pula menyifatkan keadaan mangsa “umpama daging bakar” dengan hampir semua tubuh ada kesan melecur.

“Saya dimaklumkan doktor, arwah meniggal akibat melecur tahap tiga,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro juga melaporkan polis sedang menjejaki bomoh yang didakwa menyebut nama mangsa sebagai pelajar yang disyaki mencuri.

Seorang doktor klinik swasta di Bangi tempat arwah dirawat pada 27 dan 31 Mei lalu juga akan dipanggil memberi keterangan.

“Selain doktor itu, kami juga akan menjejaki dan merakam keterangan bomoh yang didakwa menyebut nama arwah sebagai individu yang mencuri komputer riba.

“Suspek menggunakan alasan itu untuk memaksa Allahyarham mengaku tindakannya (mencuri),” kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.

Zulfahran, 21 meninggal dunia di Hospital Serdang 10 malam Khamis dengan kesan melecur di dada, tangan dan kaki, dipercayai ditekap seterika wap.

Seramai 36 pelajar direman bagi membantu siasatan kes kematian pegawai kadet laut tahun tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah mengarahkan UPNM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan segera.

Sumber : Harian Metro