Seorang peniaga bazar Ramadan telah dihalau oleh pihak berkuasa kerana berpakaian tidak sopan di khalayak ramai.

Kejadian berlaku di Kuantan baru-baru ini apabila pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah meminta seorang gadis yang berpakaian seksi untuk pulang ke rumah dan menukar pakaiannya.

Gadis yang berusia 20 tahun itu kemudian akur dengan perintah pihak berkuasa dan menukar pakaian.

Menurut sumber, kesemua peniaga bazar Ramadan di Kuantan, Pahang dimestikan untuk berpakaian sopan dan menutup aurat sekiranya ingin berniaga di bazar tersebut.

Jika gagal berbuat demikian, peniaga tersebut tidak akan diberikan lesen perniagaan dan diminta pulang.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, mereka memandang serius terhadap perkara ini.

”Selain menitik beratkan tentang kebersihan makanan yang dijual, MPK juga memandang serius soal etika berpakaian sepanjang berniaga di bazar Ramadan.

”Secara keseluruhannya, kami berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan peniaga kerana memetuhi peraturan,” katanya kepada Harian Metro.

Sebagai langkah berjaga, MPK telah menempatkan beberapa orang penguatkuasa untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan sepanjang masa.

Olahan : Izzat Ridzwan