Pelakon Saharul Ridzwan,27, enggan mengulas lanjut mengenai berita kehamilan isterinya, Deena Amir yang tersebar dalam ruangan gosip portal Utusan Online semalam.

Saharul berkata dia akan hanya akan menjawab segala persoalan itu bila sampai waktunya nanti.

"Saya tak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu buat masa ini.

"Namun saya tidak mahu menafikan kerana ia seolah-olah seperti saya menolak rezeki dariNya.

"Tunggu sahaja bila saya rasa masa yang sesuai serta sampai waktunya nanti saya akan beritahu dan war-warlan perkara baik ini kepada semua," katanya kepada Astro Gempak yang ditemui di majlis pelancaran pusat kecantikan wajah Estetika Medispa.

Walau bagaimanapun, sumber berkenaan memberitahu Saharul belum mahu mengumumkan berita gembira itu kerana kandungan isterinya itu masih berada di peringkat awal.

Namun Saharul meminta agar semua mendoakan agar dia sentiasa dimurahkan rezeki.

"Apa-apa pun, saya minta doakan lah agar kami suami isteri dimurahkan rezeki tidak kiralah rezeki anak ataupun harta," katanya lagi.

Pasangan ini selamat diijakabulkan pada 16 September lalu.

Dalam perkembangan lain, Saharul kini sedang menjalani penggambaran drama Liga Masjid untuk siaran Astro.

Teks oleh: Syafiqah Jalal