Setelah popular dengan lagu Redha, penyanyi muda Irfan Haris kini muncul dengan single kedua yang berjudul Pesan.

Menariknya, lagu tersebut merupakan lagu ciptaan penyanyi yang popular dengan lagu Segalanya, Haqiem Rusli.

“Alhamdulillah, single kedua saya telah pun dilancarkan. Lagu tersebut dicipta oleh Haqiem Rusli dan lirik pula ditulis oleh Ippo Hafiz, Haqiem dan saya sendiri.

“Saya yakin dengan bakat yang ada dengan Haqiem dan menjadikan lagu ciptaannya sebagai single kedua. Haqiem merupakan rakan baik saya dalam industri hiburan dan saya berbesar hati dapat menyanyikan lagu ciptaan Haqiem,” kata Irfan ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan rakaman program Hari Raya Muzik Muzik 32 dan Indigital di Marriot Putrajaya pada Selasa.

Masih berusia 16 tahun, Irfran masih berulang alik dari Johor Bharu ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu jika ada undangan persembahan.

“Pada hari Isnin sehinggaa Jumaat, saya fokus dengan pembelajaran di sekolah. Saya ke Kuala Lumpur pada hujung minggu dan memenuhi undangan serta melibatkan diri dalam aktiviti seni.

“Setakat ini, belum ada perancangan untuk saya pindah ke Kuala Lumpur. Namun begitu, bapa saya pernah berkata, jika single kedua saya menjadi popular dan saya semakin sibuk dengan kerjaya seni, tahun hadapan saya akan pindah ke Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal