Pelakon Que Haidar akui seronok berniaga di bulan Ramadan sejak enam tahun lalu.

Que Haidar atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 38, berkata dia akan berada di gerai jualannya hampir setiap hari sepanjang Ramadan.

“Ini merupakan tahun keenam saya berniaga di Bangsar Shopping Centre (BSC). Alhamdulillah, kami sudah mempunyai pelanggan tetap.

"Disebabkan seronok berniaga, setiap hari saya akan berada di gerai jualan dan bertemu dengan peminat.

"Saya menjual baju kanak-kanak, wanita dan lelaki dari jenama The Haidars dan juga barang lain seperti sampin dan sebagainya.

"Setiap kali bulan Ramadan memang fokus saya adalah berniaga dan meluangkan masa banyak dengan keluarga," katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Que, bukan tidak mempercayai pekerjanya tetapi minat untuk berniaga dan bertemu peminat menyebabkan dia suka turun padang.

"Mungkin bagi sesetengah artis yang membuka gerai jualan mereka jarang berada di tempat jualannya, tetapi berbeza dengan saya.

"Saya memang seronok berniaga walaupun saya sudah ada pekerja. Bukan kerana tak percayakan pekerja saya tetapi lebih baik saya berada di sana.

"Bukan selalu, masa inilah saya hendak berjumpa dengan peminat dan rakan yang ingin bertemu dengan saya," katanya lagi.