Penyanyi rap, Waris mengambil keputusan untuk memperlahankan kerjaya seninya sempena bulan Ramadan.

Waris atau nama sebenarny Muzammil Alias berkata ingin berehat seketika sambil memberikan fokus untuk melakukan ibadah di bulan yang mulia.

“Ramadan tahun ini saya mahui berehat seketika dan perniagaan air di bazar Ramadan akan dikendalikan oleh pekerja saya.

“Lagipun beberapa tahun sebelum ini saya rasa kerap sangat kerja jadi saya rasa puasa kali ini lebih baik kalau saya fokus melakukan ibadah.

“Kalau bulan-bulan lain dah sibuk, apalah salahnya kalau bulan puasa ini kita lebihkan masa bersama keluarga pula,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Waris dalam proses mencipta lagu untuk pasukan bola sepak Negeri Sembilan.

“Saya berasa teruja dan tak sangka diberi penghormatan mencipta lagu untuk pasukan bola sepak negeri kelahiran sendiri.

“Buat masa sekarang ini saya dah siapkan demo dan akan dirakamkan tidak lama lagi. InshaAllah saya akan mainkan lagu berkenaan dalam stadium terlebih dahulu.

“Kalau boleh saya mahu tarik perhatian peminat bola sepak dan harap mereka menyukainya,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri