Menjelang malam kemuncak AIM 22, satu persembahan Live Ekstravaganza calon-calon akhir AIM 22 bakal diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 6 November ini.

Persembahan ekslusif tersebut bakal berlangsung selama tiga jam bermula pukul 2 petang menampilkan artis-artis hebat seperti Akim & The Majistret, Black, Hazama, Kaka Azraff, Najwa Mahiaddin, Projector Band, Salammusik, Syamel, Projek Pistol, De Fam, Juwita Suwito dan Vince Chong.

Tiket masuk berharga RM60.00 (termasuk satu (1) minuman ringan percuma) boleh dibeli di pintu masuk Hard Rock Café Kuala Lumpur mulai jam 12.00 tengahari pada hari acara berlangsung.

Untuk membuat tempahan lebih awal, sila hubungi Rina di 018-2920368 atau e-mel tempahan ke [email protected]

Dengan kerjasama pusat membeli-belah AEON, satu siri Jelajah AIM 22 yang membawa sebilangan para finalis AIM 22 bertemu dengan peminat-peminat mereka akan diadakan di lima cawangan AEON Mall bermula di AEON Tebrau City Shopping Centre, Johor Bahru pada 5 November, AEON AU2 Setiawangsa Shopping Centre pada 13 November, AEON MALL 1 Penaja Utama Klebang, Ipoh pada 19 November, AEON Mall Kota Bharu, Kelantan pada 26 November dan berakhir di AEON Mall Shah Alam pada 3 Disember.

Anugerah Industri Muzik ke-22 akan disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pada hari Ahad, 18 Disember2016 serentak di Saluran Astro RIA (104) dan Astro Ria HD (123) dari pukul 9 hingga 11.30 malam.

Majlis tersebut akan didahului acara ‘Karpet Glamor AIM 22’ yang menampilkan perjalanan artis dan selebriti yang menyusuri karpet merah dari pukul 8.30 malam hingga 9.00 malam sejurus sebelum majlis penyampaian anugerah berlangsung.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari laman web rasmi AIM, www.aim.org.my. Untuk berita terkini dan kandungan eksklusif berkaitan AIM 22, sila layari laman Facebook AIM di (@Anugerah.Industri.Muzik.Official) atau ikuti akaun Instagram (@anugerah_industri_muzik) dan Twitter (@AIM22official).