Bintang antarabangsa, Katy Perry akui bersedia untuk menamatkan perang dingin dengan penyanyi Taylor Swift seandainya dia memohon maaf secara terbuka.

Menurut laporan Daily Mail, perang dingin di antara kedua-dua penyanyi ini masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun ia telah berlanjutan selama beberapa tahun.

"Saya mengakui berlaku perang dingin dengan Swift namun bukan saya yang memulakannya.

"Sekarang ini saya bersedia untuk berdamai seandainya dia (Taylor) bersedia untuk memohon maaf selepas apa yang dia lakukan.

"Saya pernah menelefon Taylor untuk bercakap mengenai perkara itu namun penyanyi berkenaan enggan berbuat demikian selepas dia melancarkan lagu berjudul Bad Blood yang dikatakan ditujukan kepada saya," katanya menerusi wawancara program Late Late Show With James Corden.

Bagaimanapun Katy enggan mengesahkan sama ada lagu terbaharunya, Swish Swish ditujukan kepada Taylor.

Sementara itu, Katy berkata, dia enggan memanjangkan masalah ini dan berharap Swift dapat memberikan kerjasama.

Olahan: Rozaimi Zubaidi

Sumber: Daily Mail