Kumpulan nasyid, Rabbani akui akan sertai program Gema Gegar Vaganza (GGV) jika semua ahli kumpulannya tidak terikat dengan komitmen lain.

Ahli kumpulan tersebut, Azadan Abdul Aziz berkata mereka berminat untuk menyertai program tersebut kerana ia satu-satunya program yang memartabatkan penyanyi nasyid.

"Sebenarnya memang kami telah ditawarkan untuk sertai program ini pada musim pertama yang lalu tetapi disebabkan kekangan masa dan terikat dengan komitmen lain, kami terpaksa tolak.

"Lagipun kami belum bersedia untuk memberi komitmen tersebut kerana ketika itu semua ahli kumpulan kami bekerja, berniaga dan sebagainya.

"Jika ada rezeki untuk kami musim kedua nanti, insya-Allah kami akan pertimbangkannya kerana kami tak nafikan GGV adalah satu program yang bagus kerana memartabatkan artis nasyid.

"Secara peribadi, saya berminat untuk sertainya untuk menyokong usaha Astro mewujudkan program sebegini.

"GGV wajar diteruskan malahan kami harap dengan adanya program ini, ia membuka mata stesen televisyen lain untuk buat program hiburan Islamik dengan konsep yang berbeza-beza," katanya kepada Astro Gempak.

Azadan dan enam ahli kumpulannya yang lain ditemui di majlis pelancaran Iftar Bersama Rabbani di Restoran Rabbani Lamb House, semalam.

Enam ahli kumpulan Rabbani yang lain adalah Mohd Rithaudden Yaakob, Zulkiflee Azman, Ahmad Syafie, M. Afendi Shahbudin, Nazrul Azhar Tamrin dan Azizan Khalid

Mengulas mengenai juara musim pertama GGV iaitu kumpulan UNIC, Azadan tidak menafikan kumpulan tersebut telah memberikan usaha yang luar biasa.

"Kami memang mengikuti program ini dari awal dan saya akui UNIC dari awal lagi sudah menunjukkan persembahan yang terbaik dari segi kreativiti dan kemantapan vokal.

"Namun bila sampai ke peringkat akhir saya sendiri sukar untuk menjangka kerana semua kumpulan telah memberikan yang terbaik," katanya lagi.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Rabbani bakal mengadakan persembahan setiap minggu di Restoran Rabbani Lamb House bersama kumpulan nasyid lain seperti Saujana, Inteam, Fareats, Nowseeheart dan Munsyid.

Teks oleh: Syafiqah Jalal