Konsert akhir Gema Gegar Vaganza (GGV) telah berlangsung dengan meriah di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras malam tadi.

Enam bintang GGV diberikan dua tugasan menyampaikan lagu secara solo dan battle bersama bintang lain dengan penuh bersemangat.

UNIC berjaya meraih gelaran juara dan berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi sumbangan Astro.

Hijjaz yang menyampaikan lagu Fantamorgana berjaya meraih tempat naib juara dan Hijjaz turut menerima Anugerah Persembahan Pilihan Penonton menerusi undian di laman web GGV.

Azmi Saat, vokalis kumpulan Caliph Busker terpilih sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori Gempak Gempur atas persembahan yang memukau.

Pemenang menerima wang tunai bernilai RM15,000 sumbangan Kopi Pak Belalang. Setiap minggu, hadiah akan disalurkan kepada badan amal atau individu yang memerlukan.

Semua peserta GGV memberikan saingan sengit membuatkan juri tetap Farihin Abdul Fattah, Oki Setiana Dewi dan juri jemputan Datuk Siti Nurhaliza sukar untuk menentukan siapa yang layak bergelar juara.

Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan format pemarkahan 100% oleh juri profesional dan komen-komen yang telah diberikan:

UNIC - Ainul Mardhiah
"Persembahan ini membuatkan saya berkobar-kobar. Betapa indahnya janji Allah. Tahniah, saya suka dengan persembahan unik UNIC malam ini," - Datuk Siti Nurhaliza.

Hijjaz - Fatamorgana
"Saya sangat suka konsep yang dibawakan oleh Hijjaz pada malam ini. Beginilah persembahan Hijjaz yang saya inginkan," - Oki Setiana Dewi.

Mirwana - Ya Rasulullah
"Alhamdulillah, Mirwana sederhana pada awal, tetapi anda berjaya membawa persembahan anda ke satu tempat yang lebih tinggi sehingga akhir," - Farihin Abdul Fattah.

Azmi Saat - Damai Yang Hilang
"Azmi selalunya bagus semenjak minggu pertama sehingga sekarang. Tetapi jika ingin berlakon, seharusnya ada keserasian dengan pelakon yang lain," - Oki Setiana Dewi.

Hafiz Hamidun - Nur Kasih
"Feel terbaik. Anda pandai mengadaptasikan satu lagu. Lagu ini ada kekuatan tersendiri, satu percubaan yang baik," - Farihin Abdul Fattah.

Saujana - Penerang Hati
"Saya berikan kredit atas kreativiti yang anda tunjukkan. Kalian kreatif, ada lakonan. Penyanyi nasyid adalah penyanyi terbaik, GGV membuktikan penyanyi nasyid first class," - Datuk Siti Nurhaliza.

Lagu pusingan battle:
Aku Maafkan Kamu - Azmi Saat vs Hafiz Hamidun
Kalah Dalam Menang - UNIC vs Saujana
Alhamdulillah - Mirwana vs Hijjaz

GGV bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB bermula pada jam 9.00 malam, bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal