Sudah lebih tiga tahun menjalankan perniagaan tudung, pelakon Zara Zya mahu buktikan wanita tidak berhijab juga boleh menjual tudung.

Malah kini Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 31, berkata perniagaannya itu semakin mendapat sambutan peminat dan orang ramai.

"Saya mula menjual tudung ni selepas saya berlakon dalam drama bersiri Mr.Arrogant. Ketika berlakon dalam drama tersebut saya memakai tudung jenama lain dan mempromosikannya.

"Bila saya lihat permintaan terhadap tudung yang saya pakai dan promosi itu mendapat sambutan, saya pun terfikir untuk menjual tudung dengan jenama sendiri.

"Kini perniagaan tudung saya sudah bertahan selama tiga tahun dan saya tidak sangka boleh bertahan selama ini. Kerana sebelum ini saya telah mendapat kecaman yang agak kuat daripada orang apabila mempersoalkan saya jual tudung tetapi diri sendiri tidak berhijab.

"Sekarang tiada lagi orang persoalkan, malah ramai pula yang menyokong perniagaan saya," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui semalam.

Zara memberitahu perniagaan tudungnya yang diberi nama Zyabyzarazya itu mendapat sambutan yang menggalakan kerana harga yang dijual lebih murah daripada jenama tudung lain.

"Tudung yang saya jual di pasaran saya keluargakan mengikut rekaan dan unit permintaan dan saya tak nafikan ia semakin mendapat sambutan.

"Saya dapati ia menjadi pilihan wanita bertudung kerana saya tidak menjual dengan dengan arga yang mahal dan mampu milik terutamanya pelajar sekolah dan universiti," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Zara baru sahaja tamat penggamaran telemovie bersama produksi JS Pictures bersama pelakon-pelakon lain seperti Saharul, Janna Nick, Idris Khan dan Dayana Roza.

Teks oleh Syafiqah Jalal