Kumpulan nasyid Mirwana merasakan tugasan menyanyikan lagu lain sama sukarnya seperti menyanyikan lagu sendiri.

Di pentas akhir Gema Gegar Vaganza (GGV) yang bakal berlangsung pada Ahad ini menyaksikan kumpulan Mirwana, Hafiz Hamidun dan Azmi Caliph Busker akan menyampaikan lagu dendangan asal penyanyi lain manakala kumpulan Hijjaz, UNIC dan Saujana akan menyanyikan semula lagu mereka sendiri.

"Walaupun tidak menyanyikan lagu sendiri, kami merasakan cabaran itu tetap sama. Jika peserta diberi cabaran menyanyikan lagu orang lain, peserta harus membuat ulang kaji mengenai lagu tersebut.

"Jika peserta mendapat tugasan menyanyikan kembali lagu sendiri, peserta harus memikirkan bagaimana untuk memberikan suntikan kelainan dalam menjayakan lagu tersebut," kata Along mewakili Mirwana.

Bakal menyampaikan lagu Ya Rasulullah nyanyian asal kumpulan Raihan, Mirwana akan menghadiahkan sesuatu yang berbeza kepada semua penonton.

"Lagu ini memang sangat terkenal. Lagu ini juga pernah dibawakan oleh Datuk Siti Nurhaliza.

"Kami akan berusaha sebaik mungkin di pentas akhir dan bakal menonjolkan kelainan," katanya lagi.

Konsert akhir Gema Gegar Vaganza akan bersiaran pada Ahad, 21 Mei, jam 9.00 malam di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Bersiaran langsung di Pusat Konvensyen CIDB Cheras, Gema Gegar Vaganza menampilkan Siti Nordiana, Achey dan Fikri Lawak Solo sebagai pengacara.

Selain itu, komposer terkemuka, Farihin Abdul Fattah bersama pelakon terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi menggalas tugas sebagai juri tetap Gema Gegar Vaganza.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu menonton video-video persembahan peserta dan ingin mendapatkan lebih info mengenai program ini dan, layari laman web www.gemagegarvaganza.com.my atau gunakan hashtag #GemaGegarVaganza untuk berinteraksi mengenai program ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal