Penyanyi rap, Waris akui kontroversi yang melibatkan pelakon Nora Danish dan Fasha Sandha tidak menganggu promosi lagu duet mereka berjudul, 'Ini Lagi Boom'.
Sebaliknya, menurut Waris atau nama sebenarnya Muzammil Alias, lagu tersebut semakin mendapat sambutan dan permintaan pendengar untuk diputarkan di radio.

“Saya tidak mahu masuk campur dengan isu berkenaan, bagi saya itu adalah hal peribadi mereka.

“Perkara itu pun tidak menganggu promosi lagu duet saya bersama Nora. Cuma apa yang saya nampak dari segi promosi, kontroversi itu sedikit sebanyak membantu popularkan lagu tersebut.

“Pada pendapat saya, tidak kira sama ada isu itu negatif atau positif, perkara itu jugalah yang banyak membantu sebenarnya.

“Saya juga perasan, lagu itu semakin mendapat sambutan dan pendengar juga sering membuat permintaan untuk lagu itu diputarkan di radio,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Waris ditemui pada majlis pelancaran album keduanya berjudul Waris Alumni, bertempat di ATAS, Commercial Hub, Petaling Jaya.

Sebanyak 10 lagu dimuatkan dalam album tersebut antaranya Alumni, Tepuk, Cara Lama, Ada Saja, Lagenda, Dalam Perjalanan dan Cinta Terakhir.

Teks oleh: Mya Amri