Penyanyi Elyana akui selepas keguguran tahun lalu, dia tidak boleh hamil lagi atas sebab-sebab tertentu.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, memberitahu dia berhasrat untuk mengambil anak angkat.

"Anak saya sudah besar tahun ni berusia 6 tahun dan saya sebenarnya dah lama sangat hendak menambah zuriat.

"Namun selepas keguguran tahun lalu, saya tidak boleh hamil atas sebab-sebab tertentu.

"Jadi saya berhasrat untuk mengambil anak angkat dan sekarang sedang mencari," katanya kepada Astro Gempak.

Elyana ditemui ketika majlis Preview Iftar di Intekma Resort, malam semalam.

Penyanyi lagu Kalis Rindu ini berkahwin dengan Khairul Anuar Husin pada November 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Summayah, 6.

Menurut Elyana lagi, dia akan mengambil anak angkat daripada keluarga yang susah supaya dapat membantu membesarkan mereka dengan lebih sempurna.

"Saya kalau boleh mahu cari keluarga yang susah serta yang benar-benar tidak mampu hendak menjaga bayi mereka.

"Tidak kisah apa jantina mereka pun saya akan terima.

"Malah jika ada rezeki lebih saya mahu ambil anak angkat lebih dari satu," katanya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Elyana bakal muncul dengan single terbaru berjudul Ikhlas Dalam Resah tidak lama lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal