Penyanyi Hafiz Suip akui berasa tertekan apabila sering ditanya mengenai soal anak.

Hafiz, 27, berkata lebih membuatkan dia tertekan apabila yang bertanya adalah daripada kalangan keluarganya sendiri.

"Saya akui tertekan juga apabila sering ditanya bila hendak menimang cahaya mata.

"Paling membuatkan saya tertekan apabila setiap kali pulang ke kampung , saudara mara pasti akan bertanya mengenai perkara tersebut.

"Saya tahu mereka prihatin tetapi siapalah kita untuk mempersoalkan rezeki Tuhan.

"Namun lama kelamaan saya anggap itu lumrah manusia, bila belum berkahwin tanya bila hendak kahwin sekarang dah kahwin tanya pula bila hendak ada anak," katanya kepada Astro Gempak.

Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada 14 May tahun lalu di Kuching, Sarawak.

Penyanyi lagu Bahagiamu Deritaku itu memberitahu dia bersama isterinya pernah berjumpa dengan pakar sakit puan untuk meminta pendapat tentang masalah yang dihadapi.

"Kami pernah jumpa pakar sakit puan tetapi doktor itu sendiri memberitahu tertalu awal untuk kami fikir soal anak kerana perkahwinan kami ketika itu baru sahaja kurang belum pun cukup setahun.

"Jadi dia nasaihatkan kami supaya tidak terlalu tertekan dan banyak berehat dan pergi bercuti kerana untuk menimang cahaya mata, pasangan tidak seharusnya tertekan.

"Kami pun masing-masing sibuk sejak kebalakangan ini, mungkin kerana baru berkahwin dan masih cuba untuk membahagikan masa dengan baik," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Hafiz kini sedang dalam proses menyiapkan album solonya yang dijangka muncul penghujung tahun ini.

Teks oleh: Syafiqah Jalal