Pelakon Fouziah Gous tidak menyangka pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta baru-baru ini mendapati dia hamil tujuh minggu.

Kata dramatis itu, pada pemeriksaan kali pertama, pihak perubatan tidak dapat mengesahkan dia mengandung sebaliknya mengesyaki menghidap gastrik.

"Suami saya bawa ke hospital untuk buat pemeriksaan, pada mulanya doktor menyangka saya sakit gastrik sampailah dinasihatkan untuk membuat rawatan susulan.

"Ketika pemeriksaan kali kedua doktor sahkan saya hamil tujuh minggu dan sekarang sudah genap usia kandungan saya 14 minggu," ceritanya ketika ditemui pada majlis sidang media program ramadan TV3 dan TV9 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam masa sama, suaminya, Zafran pernah mendapat mimpi bakal menimang cahaya mata kedua beberapa hari sebelum mendapat perkhabaran gembira itu.

"Suami ada beritahu yang dia bermimpi saya mengandung tapi kami anggap itu mainan tidur sebab saya pun ada mendapat mimpi mengarut juga.

"Namun, mood saya menjadi tidak stabil dan simptom ini saya pernah rasa ketika mengandung kali pertama dulu," tambahnya.



Fouziah, 35, mengakui kehamilan kali kedua ini lebih mencabar kerana mengalami alahan yang teruk.

"Kali ini saya tidak tahu nak makan apa, kadang-kadang dari pagi sampai petang tak sentuh makanan.

"Saya juga tidak gemarkan minuman manis tetapi sekarang saya sangat suka air manis-manis dan ais. Sampaikan bangun tidur pun cari ais," katanya.

Pelakon filem Bujang Senang itu kini aktif memajukan perniagaan sarang burung dan baru membuka sebuah gimnasium Muay Thai, Gym FDM di Bukit Jelutong.



Teks oleh: Amri Hassan