Pelakon era 80-an, Datuk Seri Shah Rezza menegaskan semua selebriti yang mengikuti program Kembara Amal Kasih di Jerantut Pahang bukan bertujuan untuk mencari populariti.

Sebaliknya kata Shah Rezza, 20 selebriti yang menyertai program amal itu hanya mahu menggunakan populariti mereka untuk memupuk sikap suka menderma.

"Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya.

"Saya tidak fikir artis yang mengikuti program amal ini ingin mencari populariti kerana mereka semua sudah pun dikenali ramai dan punya pengikut mereka sendiri.



"Sebaliknya saya percaya sebagai artis mereka boleh guna populariti untuk menggalakan masyarakat supaya suka menderma dan amil bahagian dalam program amal sebegini.

"Saya gembira kerana dapat mengajak ramai artis yang mahu menyertai program amal ini dengan hati yang terbuka," katanya kepada Astro Gempak.



Antara artis yang menyertai rombongan Kembara Amal Kasih adalah seperti Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ziela Jalil, Datin Nina Juren, Aaron Aziz, Maya Matahari, Salwa Abdul Rahman dan Datuk Seri Shah Rezza.



Kembara Amal Kasih dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Amaleens yang dinaung oleh Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah.

Program amal itu bertujuan untuk beramah-mesra dan membantu penduduk di beberapa kawasan sekitar Jerantut.



Kembara Amal Kasih yang berlangsung pada 15 dan 16 Mei lalu itu menjalankan aktiviti seperti membuat lawatan sambil menderma di beberapa buah kediaman asnaf di Mukim Pulau Tawar iaitu di Rumah Banjir Bukit Rang, Kampung Kedondon dan Kampung Bandar di Jerantut.



Selain itu Amaleens serta barisan artis turut menyertai aktiviti sukan rakyat bersama penduduk Kuala Tahan dan juga menghiburkan pendudukan di sana dengan persembahan artis di Majlis Makan Malam Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah Bersama Rakyat.



Teks oleh: Syafiqah Jalal