Penyanyi baru, Ismail Izzani akui teruja menjalani kehidupan selepas bergelar anak seni.

Ismail atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal, 17, berkata dia tidak menyangka dengan sambutan luar biasa yang diterima terhadap lagu Sabar.

”Sebenarnya saya memang bimbang tentang sambutan yang akan diberikan sebelum lagu ini dilancarkan.

”Disebabkan sebelum ini tiada siapa yang mengenali saya, dan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan nyanyian, itu merupakan cabaran besar buat saya bagi memperkenalkan lagu ini.

”Namun, apa yang saya terima daripada peminat adalah amat luar biasa,” ujarnya kepada Astro Gempak

Dalam pada itu, mengulas tentang populariti yang dimilikinya, Ismail berkata kehidupannya sekarang jauh lebih berbeza.

”Kalau sebelum ini saya keluar rumah tiada siapa yang kenal, tapi sekarang ramai yang mula menegur saya.

”Kadang-kadang jika saya buat persembahan, ada peminat yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk saksikan persembahan saya.

”Perkara-perkara seperti ini yang membuatkan saya lagi bersemangat untuk terus berada dalam industri ini,” jelas Ismail.

Dalam perkembangan lain, Ismail bakal muncul dengan sebuah lagu baru bersempena Aidilfitri yang berjudul Raya Nusantara.

Menerusi lagu tersebut, Ismail akan bergandingan dengan Siti Nordiana dan dua penyanyi Indonesia iaitu Rezki Fabian dan Fatin.

Ismail ditemui ketika majlis pelancaran portal beli-belah Roopawan dan pertunjukan fesyen sempena kempen #LebaranRoopawan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, semalam (Selasa).

Bagi anda yang ingin mendapatkan koleksi baju dan aksesori menarik sempena Aidilfitri, boleh layari laman web www.roopawan.com.

Roopawan juga turut menampilkan pelbagai jenis pilihan busana milik selebriti terkenal seperti Anis Al-Idrus, Ezzaty Abdullah, Bunkface dan ramai lagi.

Teks oleh : Izzat Ridzwan