Pelakon Fizz Fairuz akui lebih gemar isterinya, Almy Nadia menjaga dan membesarkan kedua-dua anaknya, Nur Afrina Arianna, 2, Aurora, 8 bulan di rumah.

Fizz berkata, dia bimbang untuk meninggalkan anak-anaknya dengan pembantu rumah dalam tempoh masa yang lama.

"Alhamdulilah anak saya membesar dengan sihat dan bijak di bawah jagaan Almy.

"Saya lebih suka Almy sendiri yang menjaga anak saya di rumah, berbanding menyerahkan tugasan itu kepada pembantu rumah.

"Pembantu rumah sekarang pun sukar hendak dipercayai kerana banyak kes yang membimbangkan saya.

"Jadi saya mahu Almy selesaikan tugasan di rumah manakala saya sahaja yang keluar bekerja.

"Kalau ikutkan, Almy memang hendak kembali berlakon tetapi dia pun kasihankan anak-anak masih kecil dan menyusu badan.

"Mungkin bila anak-anak sudah besar dia akan pertimbangkan," katanya kepada Astro Gempak.

Fizz ditemui ketika program amal, Kembara Amal Kasih di Jerantut, Pahang pada Selasa.

Fizz bersama lebih 20 selebriti dan juga sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Amaleens menjayakan program amal tersebut selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Mei lalu.

Amaleens mengatur lawatan ke daerah berkenaan bagi menyantuni penduduk-penduduk daif dan golongan Asnaf di Jerantut dengan tujuan menyalurkan derma yang telah dikumpulkan hasil sumbangan individu.

Meskipun sedang sibuk menjalani penggambaran filem Munafik, Fizz akui gembira dapat menyertai kembara amal berkenaan.

"Saya gembira dapat meramah mesra dengan penduduk disini dengan menyertai aktiviti sukan rakyat selain menyalurkan bantuan kepada yang kekurangan.

"Saya rasa aktiviti ini perlu diadakan lagi supaya sumbangan dapat disalurkan ke pihak yang memerlukan.

"Selepas ini saya akan kembali ke set filem Munafik untuk meneruskan penggambaran," katanya lagi.

Antara artis yang menyertai rombongan tersebut ialah Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ziela Jalil, Datin Nina Juren, Aaron Aziz, Maya Matahari, Salwa Abdul Rahman dan Datuk Seri Shah Rezza.

Teks oleh: Syafiqah Jalal