Minggu lalu, kisah sayu seekor kucing yang diberi nama panggilan 'Abang' telah tular di media sosial.

Catatan yang dikongsikan oleh Azreen MJ menerusi Facebook miliknya menceritakan kisah kesetiaan kucing peliharaan arwah bapanya.

Dua minggu lalu selepas pemergian bapanya, 'Abang' berubah sikap daripada seekor kucing riang dan manja menjadi murung dan enggan makan.

Hampir dua minggu 'Abang' tidak bersuara namun sebaik sahaja diberitahu akan dibawa ke kubur bapa Azreen MJ, atau dikenali sebagai 'Atok', 'Abang' lantas mengiau.

Malah, tanpa perlu didukung 'Abang' tahu mencari sendiri jalan ke pusara Allahyarham.



"Cinta mereka berdua amat kuat. 'Abang' siap baring dan mencium pusara sahabatnya. Lama juga dia melepaskan rindu.

"Nampak gembira dari air mukanya," tulis Azreen MJ.

Memilukan, pada malam sama (10 Mei) 'Abang' pula kembali mengadap ilahi selepas genap dua minggu pemergian Atok.

"Nanti kat sana Abang cakap dengan Allah, 'Atok' jaga 'Abang' dan sayang adik-adik 'Abang'. Pimpin tangan 'Atok' masuk syurga ya bang," tulisnya mengakhiri catatan.



Catatan Azreen MJ mendapat lebih 19,000 perkongsian dan lebih 9,000 komen yang rata-rata meratapi pemergian 'Abang' dan 'Atok'.


Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Azreen MJ