Baru-baru ini penjualan buah durian jenis Musang King menjadi isu apabila ada peniaga yang menjual raja buah-buahan tersebut sehingga mencecah RM100 sekilogram.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengakui tidak mempunyai kuasa untuk mengawal dan menetapkan harga siling jualan bagi durian jenis Musang King.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata ini berikutan penetapan harga buah terbabit tidak termasuk dalam senarai harga barang kawalan terutama pada musim-musim tertentu.

Oleh demikian, FAMA hanya boleh menggunakan pendekatan mengikut peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan 2008 terhadap produk pertanian itu, katanya.

"Melalui peraturan ini, penjual perlu mempamerkan harga dan gred serta negara asal buah tersebut kepada pembeli bagi memudahkan mereka mengetahui ciri-ciri durian Musang King," katanya.

Ahmad berkata, permintaan pasaran yang tinggi serta kekurangan pengeluaran pada luar musim merupakan antara faktor harga jualan itu meningkat.

"Durian ini mempunyai dua musim iaitu musim besar yang berbuah antara bulan Julai dan September manakala musim kecil pada hujung Disember hingga Mac.

"Pada waktu musim, harga jualan akan lebih murah kerana bekalan banyak dan apa yang berlaku sekarang disebabkan luar musim," katanya.

Ekoran itu, beliau menasihatkan pengguna agar tidak mudah tertipu dan mengetahui ciri-ciri durian berkenaan ketika membeli memandangkan terdapat sesetengah pihak akan mengambil kesempatan dengan menjual durian Musang King yang tidak asli kepada pembeli.

Sumber: Astro Awani