Penerbit Teater Muzikal P.Ramlee dan Puteri Gunung Ledang, Puan Sri Tiara Jacquelina, mengumumkan bakal membawa Ola Bola ke Istana Budaya, Februari tahun hadapan.

Menurut Tiara, teater ini merupakan arahan pertamanya sebagai pengarah dan mengakui kagum dengan naskah box-office tersebut.

"Ketika filem ini ditayangkan saya amat kagum dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh penonton dan dari situ saya mendapat idea untuk membawa Ola Bola ini ke pementasan teater.

"Saya merasakan persembahan muzikal ini amat menarik kerana mesej yang disampaikan dalam filem itu sendiri.

"Ini juga naskah pertama saya sebagai pengarah dan mengharapkan apa yang dirancang, dapat dilaksanakan dengan baik serta mesejnya sampai kepada penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Tiara berkata berkenaan ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran Pementasan Teater Ola Bola, di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Ola Bola The Muzikal bakal menyaksikan Raja Malek sebagai Pengarah Seni .

Terdahulu, filem Ola Bola ditayangkan pada 28 Januari tahun lalu di 120 pawagam di seluruh negara berjaya mencapai kutipan mencecah RM12 juta pada hari ke-18 tayangannya.

Untuk pembelian awal tiket ini berharga RM 120 dan mula boleh didapati pada 25 May 2017 di www.olabolamusical.com .

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi