Konsert separuh akhir Gema Gegar Vaganza (GGV) telah berlangsung dengan meriah di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras malam tadi.

Bertemakan Gema Berganda, enam bintang GGV menyampaikan dua lagu tugasan secara penuh bersemangat.

Di akhir konsert, GGV memberikan kejutan dengan melayakkan semua peserta ke konsert akhir.

Mirwana yang menyampaikan lagu The Climb dan Satu Qiblat Yang Sama mengungguli tempat teratas minggu separuh akhir.

Azmi Saat yang menyampaikan lagu Dahsyat dan Bila Tiba terpilih sebagai pemenang Anugerah Gema Terindah kategori kekal mantap atas persembahan yang memukau.

Pemenang menerima wang tunai bernilai RM8,000 sumbangan Kopi Pak Belalang. Setiap minggu, hadiah akan disalurkan kepada badan amal atau individu yang memerlukan.

Semua peserta GGV memberikan saingan sengit membuatkan juri tetap Farihin Abdul Fattah, Oki Setiana Dewi dan juri jemputan Datuk Khatijah Ibrahim sukar untuk menentukan siapa yang layak berada di kedudukan pertama.

Di bawah merupakan kedudukan peserta berdasarkan format pemarkahan 100% oleh juri profesional dan komen-komen yang telah diberikan:

Mirwana
The Climb
"Anda menonjolkan dinamik vokal yang sangat bagus. Tahniah, persembahan anda sentiasa memberikan kejutan terhadap kami," - Farihin Abdul Fattah.

Satu Qiblat Yang Sama
"Lagu ini anda sampaikan dengan bagus sekali. Setiap minggu anda membuat penambahbaikan, lebih baik berbanding minggu lalu," - Oki Setiana Dewi.

Azmi Saat
Dahsyat
"Saya suka permulaan persembahan anda. Anda nyanyi sangat stabil dan saya suka perkara tersebut," - Oki Setiana Dewi.

Bila Tiba
"Tahniah Azmi, persembahan yang baik. Saya paling suka bahagian vokal anda tanpa sebarang iringan muzik," - Farihin Abdul Fattah.

UNIC
Assalamualaikum
"Tenaga dan idea anda mantap tetapi ada bahagian lirik perlu lebih dijelaskan. Malam ini anda mencuba yang terbaik, tahniah!" - Farihin Abdul Fattah.

Sepohon Kayu
"UNIC menghadirkan konsep dramatik menerusi lagu ini dan saya suka dialog yang anda tonjolkan dalam lagu Sepohon Kayu," - Oki Setiana Dewi.

Hijjaz
Tobat Maksiat
"Satu persembahan yang mantap. Apa yang penting, semua orang dapat merasai mesej yang anda ingin sampaikan," - Datuk Khatijah Ibrahim.

Potret
"Terima kasih Hijjaz kerana kita harus diberitahu mengenai para ulamak. Persembahan anda sangat menyentuh hati, tahniah Hijjaz," - Farihin Abdul Fattah.

Hafiz Hamidun
Ayah & Ibu
"Saya suka konsep awal persembahan anda, membuatkan kita teringatkan kepada ibu. Hafiz sukses buat saya menangis dan rindu kepada orang tua saya," - Oki Setiana Dewi.

Nur Kasih
"Hafiz sangat bagus, setiap minggu memberikan persembahan yang mantap tetapi Hafiz jangan duduk di zon selesa," - Datuk Khatijah Ibrahim.

Saujana
Keluarga Bahagia
"Lagu ini anda buat rendisi baru, walaupun ada beberapa bahagian seperti sukar untuk disampaikan, penyampaian Saujana bagus," - Datuk Khatijah Ibrahim.

Tanya Sama Itu Hud Hud
"Persembahan anda sangat bagus. Kali ini, harmoni suara anda empat orang sangat sempurna," - Datuk Khatijah Ibrahim.

GGV bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu akhir GGV bakal menyaksikan enam bintang yang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert mingguan GGV, mahu melihat kembali video-video persembahan GGV atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Kamaruddin Razal