Drama siri popular, Suri Hati Mr Pilot kini boleh ditonton secara percuma atas talian menerusi aplikasi NJOI Now.

Episod penuh lakonan Fattah Amin dan Neelofa itu boleh dimuat turun dan disimpan untuk ditonton pada bila-bila masa di aplikasi NJOI Now.

Selain Suri Hati Mr Pilot, pengguna NJOI boleh mengakses kesemua box set drama Melayu terbaik yang lain seperti Isteri Tuan Ihsan, Lara Aishah, Tuan Anas Mikael, Memori Cinta Suraya dan banyak lagi.

Dalam pada itu, pengguna juga boleh menikmati program variasi popular di Astro seperti program Meja Bulat Sepahtu, drama epik Cina, The Legend of Mi Yue dan travelog Tamil KL to KaraKaidu.

NJOI Now memberi akses percuma kepada kandungan hiburan on demand termasuk box set, siaran langsung program sukan dan berita terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata perkhidmatan percuma itu termasuklah akses kepada lebih 2,200 kandungan siaran Astro.

"Dengan pelancaran NJOI Now, semua rakyat Malaysia dapat menikmati akses kepada kandungan secara dalam talian atau tanpa penggunaan talian internet di semua paparan, di rumah mahupun alat peranti mudah alih masing-masing.

"Perkhidmatan percuma itu termasuklah akses kepada lebih 2,200 kandungan termasuklah box set filem dan drama, program pendidikan yang boleh dimuat turun dan disimpan untuk tontonan pada bila-bila masa, siaran langsung program sukan dan berita, e-dagang menerusi Go Shop dan juga saluran-saluran kegemaran penonton," katanya kepada Astro Gempak.

Rohana ditemui di pelancaran aplikasi NJOI Now, di Kompleks Sukan Desa Tasik, pagi tadi.

Selain itu, NJOI Now turut menawarkan tontonan siaran langsung bagi program-program sukan di Astro Arena termasuklah Sukan SEA 2017, akses percuma kepada liga bola sepak di Astro Supersport1 bermula 11 hingga 31 Mei.

Pelanggan juga boleh menonton program-program secara langsung di beberapa saluran lain seperti Astro Awani Astro Tutor TV, Astro Oasis, Astro Prima, Astro Maya, Astro AEC dan Astro Vaanavil.

Buat individu yang mahukan akses kepada lebih variasi untuk kandungan premium, NJOI Now menawarkan pilihan prabayar untuk akses segera ke saluran dan kandungan tambahan, termasuklah Astro WARNA, Astro RIA, Astro Wah Lai Toi, Hua Hee Dai, filem terkini di Astro First dan Astro Best, dan pelbagai lagi daripada bahagian on demand.

Muat turun aplikasi NJOI Now di Google Play Store dan Apple Store di tablet, telefon pintar atau strim secara langsung di njoinow.com.

Teks oleh: Syafiqah Jalal