Pelakon Lisa Surihani akui anak sulungnya Yahaira Leanne masih dalam proses membiasakan diri dengan kehadiran adiknya, Yusof Leonne.

Menurut Lisa, 31, Yahaira kini semakin manja dan kerap menangis apabila melihat dia menyusukan Yusof.

"Yahaira masih lagi dalam proses membiasakan diri dengan kehadiran Yusof. Dia kini nampaknya lebih manja dengan saya sejak adiknya dilahirkan.

"Pada mulanya, Yahaira nampak biasa saja, tetapi apabila melihat saya menyusukan Yusof, dia terkejut dan mula menangis.

"Terasa sayu pula hati melihat keadaan berkenaan. Apapun, sekarang ini masih terlalu awal untuk membuat rumusan, dan lima bulan lagi Yahaira akan menginjak ke usia dua tahun. Saya percaya, dia mampu menjadi kakak yang baik," katanya.

Mengulas mengenai pengalaman berpantang, isteri kepada penyanyi Yusry KRU ini memberitahu kurang panik untuk menguruskan Yusof berbanding anak pertama dulu.

Malah dia juga seronok menjalani aktiviti berpantang kerana proses itu mampu mengembalikan tenaga, selain dapat menyihatkan semula dalaman tubuh badan.

"Jujurnya, saya suka berpantang dan tiada sebarang isu mengenai perkara itu. Saya anggap, ia seperti aktiviti penjagaan diri untuk kembali sihat dan bertenaga.

"Saya perlu mementingkan kesihatan diri agar dapat menjaga anak-anak saya dengan baik. Ibaratnya, ia seperti mengecas semula badan kita," ujarnya.

Terdahulu, Lisa baru saja melahirkan anak kedua, Yusof Leonne, pada 23 April lalu.

Yusry dan Lisa berkahwin pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya. Pasangan ini kurniakan cahaya mata pertama Yahaira Leanne, pada 15 September 2015.

Sumber: BH Online