Juara Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) kumpulan Bocey mengakui berbaloi tidak tidur malam apabila dinobatkan sebagai juara dua tahun berturut-turut.

Menurut anggota kumpulan Bocey, Abam, usaha mereka mengetepikan waktu tidur dalam mencari bahan lawak setiap minggu membuahkan hasil.

"Mungkin ramai yang tidak tahu kami menggunakan waktu tengah malam untuk mencari idea setiap minggu.

"Nampaknya usaha kami mengorbankan masa tidur berbaloi apabila berjaya diumumkan sebagai juara MLM, kali kedua.

"Kami juga sangat berpuas hati dengan pengorbanan yang dilakukan dan ia boleh dianggap sebagai berbaloi meskipun pelbagai dugaan kami hadapi bersama-sama," katanya kepada Astro Gempak.

Abam berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media minggu terakhir MLM 2017 pada Jumaat.

Kejayaan tersebut menyaksikan Bocey membawa pulang wang tunai berjumlah RM500,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Tempat kedua menjadi milik Shiro yang memenangi wang tunai RM250,000 dan trofi sumbangan Astro.

Dzawin terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan menerima wang tunai berjumlah RM150,000 dan trofi.

Manakala tempat keempat dan kelima menjadi milik Zero dan Puteh yang masing-masing membawa pulang RM50,000 dan RM15,000 beserta trofi.

Sementara itu, Syaiful Zero telah dinobatkan sebagai Gempak Man Of The Match pada minggu terakhir MLM 2017.

Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej, MLM 2017 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan menampilkan Datuk Rosyam Nor, Datuk Aznil Nawawi, Neelofa dan Luna Maya sebagai juri profesional.

MLM 2017 telah berlangsung pada Jumaat, di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah dan disiarkan di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) bermula pukul 10 malam.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi