Penyanyi Justin Bieber dilaporkan telah membuat permintaan yang melampau daripada pihak penganjur konsert di India sebelum dia beraksi di sana.

Seorang pengamal media India, Arjun S. Ravi, telah mendedahkan senarai permintaan Bieber, di laman sosial Twitter.

Dalam senarai tersebut, Bieber dilaporkan telah meminta kemunculannya nanti harus diiringi dengan 10 buah kereta Sedan mewah, dua biji bus Volvo dan sebuah kereta Rolls Royce yang khusus untuk dirinya.

Bukan setakat itu, Bieber juga meminta disediakan jakuzi untuk bersantai sebelum tampil di atas pentas.

Penyanyi Love Yourself itu juga meminta disediakan sekurang-kurangnya 10 buah kontena yang di dalamnya lengkap dengan kelengkapan seperti meja pingpong, set sofa, mesin basuh, peti sejuk, almari pakaian, meja urut.

Memetik laporan Hindustimes, Bieber bersama produksinya akan menginap di sebuah hotel lima bintang yang mana biliknya seluas 300 meter persegi itu akan diubahsuai bagi memenuhi keinginan penyanyi itu. Dindingnya akan dicat dengan warna ungu, iaitu warna kegemarannya.

Justin Bieber juga harus dilayani seorang tukang masak yang handal yang akan memasak lima hidangan untuknya selama 4 hari. Hidangan tersebut harus diberi nama sempena lagu-lagu popularnya.

Pihak penganjur juga diminta menyediakan jet peribadi dan helikopter yang sentiasa bersiap sedia untuk melakukan penerbangan pada bila-bila masa yang Bieber inginkan.

Bagaimanapun setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada pihak Bieber mengenai berita permintaan tak masuk akal itu.

Justin Bieber dijadualkan beraksi di Stadium Patil Mumbai pada 10 Mei ini. Ini merupakan sebahagian daripada rangkaian jelajah Purpose World Tour sempena promosi album terbaharunya.

Sumber: Hindustan Times