Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Dzawin, mengakui tidak akan memberi kemenangan mudah kepada para peserta berkumpulan untuk memenangi MLM pada tahun ini.

Dzawin atau nama sebenarnya Dzawin Nur Ikram, 26, berkata, dia akan memberikan persaingan sengit kepada kumpulan yang lain dalam memastikan kemenangannya di peringkat akhir MLM 2017.

"Saya akan memberikan sesuatu yang luar biasa untuk peringkat akhir ini dengan memastikan bahan lawak disampaikan dapat menghiburkan penonton.

"Meskipun bergelar sebagai peserta solo namun saya akan memastikan dapat memberikan saingan sengit kepada lanun lawak yang lain.

"Saya tidak kisah jika tidak dapat menjadi juara namun sekurang-kurangnya kehadiran saya ini memberi sesuatu cabaran kepada peserta lain.

"Sebenarnya dapat masuk ke final MLM 2017 merupakan kemenangan bagi saya sebagai peserta solo yang pertama kali menjejakan kaki dalam pertandingan di Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.

Gelanggang akhir MLM 2017 bakal berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah pada Jumaat (hari ini) dan lima #lanunlawak akan berentap di dua pusingan bertemakan Bebas dan Muzikal.

Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej, MLM 2017 menawarkan hadiah lumayan bagi juara pertandingan iaitu wang tunai sebanyak RM500,000 beserta trofi. Naib juara pula bakal merangkul wang tunai sebanyak RM250,000 beserta trofi dan RM150,000 beserta trofi menanti pemenang tempat ketiga. Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Penonton boleh menyaksikan siaran langsung MLM 2017 atau mendapatkan informasi terkini menerusi portal hiburan rasmi, Astro Gempak (www.astrogempak.com.my) atau laman web www.maharajalawakmega.com.my.

Selain itu, penonton boleh juga mengikuti Twitter (@maharajalawakmega) serta akaun Instagram @AstroGempak @ZonLawak @maharajalawakmega untuk dapatkan live update mengenai MLM 2017 satu jam sebelum rancangan bermula.

Sinar fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi, manakala Raku bertindak sebagai Radio Digital.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi