Pengacara Zulin Aziz akui tidak gentar apabila digandingkan bersama dua pengacara popular dan berpengalaman seperti Fauziah Ahmad Daud dan Faizal Ismail untuk mengemudi Anugerah Bintang Paling Popular Bintang Harian (ABPBH) 3.0.

Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abd Aziz, 27, memberitahu dia bangga apabila dapat mengacara acara gilang gemilang berkenaan bersama nama besar dalam industri tersebut.

"Perasaan gentar atau stage fright itu sentiasa ada setiap kali saya berada di atas pentas kerana bagi saya ia perlu ada jika tidak saya akan over confident.

"Namun saya bangga apabila dapat digandingkan dengan dua pengacara popular di acara gilang gemilang itu.

"Saya tidak akan mempersia-siakan peluang yang ada ini dan akan memberikan yang terbaik nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Apabila ditanya mengenai persiapannya, Zulin memberitahu dia akan banyak membuat latihan dan menuntut ilmu dengan Fauziah yang lebih dikenali dengan nama Ogy.

"Saya kena banyak berlatih kerana mengenali Ogy dia merupakan pengacara yang tidak akan memegang dan bergantung dengan que card ketika berlangsungnya acara.

"Jadi saya perlu menghafal skrip dan ingat apa susunan acara itu nanti.

"Ogy dan Faizal juga mahu kami nanti nampak balance apabila mengemudi acara itu nanti supaya tidak nampak siapa yang lebih menonjol," katanya lagi.

ABPBH 3.0 bakal berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 14 Mei ini.

Teks oleh Syafiqah Jalal