Nampaknya 5 Mei merupakan hari paling bermakna buat Syaiful dari kumpulan Zero kerana, anak sulungnya Mohammad Sharif Israq bakal menyambut ulangtahun kelahirannya yang pertama.

Sebaik sahaja Astro Gempak melihat kiriman foto anak Syaiful bersama piala Maharaja Lawak Mega (MLM) yang dimenangi Zero pada tahun 2014, kami merasakan si comel itu seolah-olah sedang ‘mengharapkan’ sesuatu daripada bapanya.

Wajah si comel yang sedang memegang piala kejuaraan milik bapanya itu kelihatan sangat ceria dan mungkin itulah pembakar semangat kepada Syaiful untuk melakukan persembahan terbaik bersama adik-adiknya Atu dan Sharif.

Syaiful yang kini berada di Jitra, Kedah memberitahu ini merupakan kenangan yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya.

“Kalau tahun lalu pada tarikh ini, saya menyambut kelahiran Sharif Israq di hospital, tahun ini saya berjauhan dengan anak saya kerana MLM 2017.



“Malam esok, Zero akan memberikan persembahan yang terbaik dan secara peribadinya ia akan menjadi lebih istimewa kepada saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Gelanggang akhir MLM 2017 bakal berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah pada Jumaat (esok) dan lima #lanunlawak akan berentap di dua pusingan bertemakan Bebas dan Muzikal.

Mengangkat tema ‘Lanun’ sebagai imej, MLM 2017 menawarkan hadiah lumayan bagi juara pertandingan iaitu wang tunai sebanyak RM500,000 beserta trofi. Naib juara pula bakal merangkul wang tunai sebanyak RM250,000 beserta trofi dan RM150,000 beserta trofi menanti pemenang tempat ketiga. Manakala tempat keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Penonton boleh menyaksikan siaran langsung MLM 2017 atau mendapatkan informasi terkini menerusi portal hiburan rasmi, Astro Gempak (www.astrogempak.com.my) atau laman web www.maharajalawakmega.com.my.

Selain itu, penonton boleh juga mengikuti Twitter (@maharajalawakmega) serta akaun Instagram @AstroGempak @ZonLawak @maharajalawakmega untuk dapatkan live update mengenai MLM 2017 satu jam sebelum rancangan bermula.

Sinar fm juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi, manakala Raku bertindak sebagai Radio Digital.